Pages

Tuesday, November 29, 2011

BUDAYA HEDONISME : PEMBUNUH GENERASI ISLAM

 


Hedonisme yang berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud kesenangan (pleasure) ialah suatu pola pemikiran dan budaya hidup yang terlalu sukakan kepada aktiviti hiburan dan keseronokan semata-mata (Encyclopedia of Philosophy, 2006;254-258). Menurut kamus dewan pula, hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.
Sedar atau pun tidak, secara sengaja atau pun kebetulan cuma, budaya hedonisme ini telah mula menular masuk sekian lama dalam kehidupan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya dikalangan muda mudi. Salah satu faktor penting yang menyumbang kepada berlakunya fenomena ini ialah realiti media massa sama ada media cetak atau media elektronik yang memberikan peruntukan yang sangat banyak kepada aspek hiburan.
Kebarangkalian yang boleh difikirkan kenapa berita artis, rencana hiburan dan skandal seks diberikan ruang yang begitu meluas, dengan gambar-gambar yang besar dan memakan banyak ruang, tajuk-tajuknya yang besar, mungkin kerana ianya jenis yang ”selamat”. Para menteri tidak menghalang, ramai orang yang suka membacanya, pasaran bertambah dan para pengiklan pun senang hati.
Hiburan pada dasarnya bukanlah suatu yang salah atau dilarang oleh Islam, asalkan ianya dihidangkan dan dinikmati berlandaskan lunas-lunas syariat. Fitrah manusia secara umumnya memang perlukan kepada hiburan. Tuntutan fitrah ini seharusnya diberikan haknya dan ditunaikan dengan adil. Adil dalam erti kata memilih hiburan yang betul dan mengikut kadar yang diperlukan sahaja tanpa melampaui batas.
Namun, fenomena yang terzahir pada hari ini adalah sebaliknya. Program-program hiburan sama ada di televisyen atau radio dilambakkan kepada masyarakat dengan begitu banyak mengatasi program-program lain. Berita-berita hiburan juga memonopoli akhbar-akhbar dan tabloid-tabloid. Kisah kehidupan, dalam dan luar negara, diberikan liputan yang berleluasa.


Tidak cukup dengan program hiburan yang disiarkan di kaca televisyen, terdapat sesetengah pengamal media dengan bersungguh-sungguh menghidangkan hiburan ini secara langsung kepada masyarakat. Menjelajah dari satu negeri ke satu negeri yang lain sambil mengajak masyarakat untuk berhibur bersama artis-artis yang dibawa. Sebagai contoh, umum telah mengetahui tentang kewujudan Karnival TV3 Jom Heboh! yang sudah mendapat tempat di hati masyarakat. Setiap kali karnival ini sampai di mana-mana negeri, konsert hiburan dari artis-artis tempatan pasti dinanti. Memang tidak adil untuk kita mengkategorikan karnival ini sebagai budaya hedonisme sepenuhnya, kerana sesetengah aktiviti yang diselitkan memang memberi faedah kepada masyarakat seperti pameran yang melibatkan gerai-gerai dan jualan.  Namun, pengaruhnya ke arah penyuburan budaya tersebut tidak boleh dinafikan.

Hal ini tampak jelas melalui tindakan Kerajaan Negeri Terangganu suatu ketika dahulu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Negeri, Wan Hashim Wan Salleh pada 26 Febuari 2005. Sebagai mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, beliau menafikan sama sekali telah memberi kebenaran kepada stesen televisyen swasta, TV3 bagi menganjurkan program berbentuk hiburan, Karnival TV3 Sure Heboh – nama yang digunakan ketika itu- di negeri tersebut. Kerajaan negeri katanya tidak pernah dan tidak akan membenarkan karnival berkenaan atau yang seumpamanya dibuat di negeri itu kerana ia mengandungi beberapa aktiviti seperti konsert  oleh artis tempatan yang tidak menepati ciri-ciri Islam Hadhari. Sebaliknya, tambah beliau, kerajaan negeri telah membuat kerjasama dengan stesen televisyen itu bagi menganjurkan satu program Islam Hadhari yang bertujuan memberi kefahaman kepada rakyat negeri  itu mengenai konsep Islam Hadhari. Natijahnya, maka lahirlah program ”Perkampungan Hadhari” yang dilihat lebih berunsurkan Islamik.

Selain konsert-konsert yang diselitkan semasa karnival Jom Heboh ini, ada juga konsert-konsert lain yang terus dijamukan kepada masyarakat kita di atas pelbagai nama dan tema, dianjurkan oleh pelbagai pihak dan syarikat. Konsert sempena sambutan tahun baru, konsert sambutan hari kebangsaaan dan bermacam lagi. Contoh lain ialah Konsert Inspirasi TV3 yang berlangsung di Dataran Merdeka, Pesta Malam Indonesia 3, Rockaway ’09 dan terdapat 6 konsert lain yang dianjurkan sempena Festival Muzik KL 2009 yang bermula dari 1-10 Julai 2009.

Apabila program-program hiburan sebegini dilambakkan, kesannya minda masyarakat akan banyak dibentuk dengan hiburan. Generasi muda yang diharapkan menjadi barisan pelapis untuk menerajui dan mencorak pembangunan ummah dan negara, disibukkan dengan hiburan yang melampau-lampau. Mereka lebih ghairah dan bersemangat untuk berbicara tentang gosip sensasi para artis, filem-filem terbaru di pawagam, lagu-lagu yang sedang popular dan pelbagai topik lain yang semuanya berkaitan dengan hiburan. Penyakit ini bukan sahaja menimpa golongan muda mudi kurang berpendidikan, malah dukacita apabila ianya turut berjangkit kepada golongan mahasiswa mahasiswi di institut pengajian tinggi.

Fenomena ini dapat dibuktikan melalui pengaruh penampilan fizikal, tutur kata, tindakan dan amalan majoriti para remaja zaman ini. Demi menghasilkan imej dan identiti urban-kontemporari para remaja zaman ini sanggup menggadai jati diri dan sosok peribadi mereka demi kelihatan ’cool’ dan ber’attitude’ (Syuhada, 2009). Tiada lagi jatidiri seorang bangsa Melayu yang sangat terkenal dengan budaya ketimurannya. Malah yang lebih penting, tidak nampak pada peribadi dan tingkah laku mereka watak seorang Muslim sejati, yang telah diutuskan seorang Nabi, sebagai contoh ikutan yang hakiki.

Terlalu banyak contoh pemikiran hedonism ini menular dalam pemikiran masyarakat terutamanya generasi muda. Salah satu buktinya yang ketara ialah keghairahan dan kegilaan generasi muda akhir-akhir ini terhadap bidang nyanyian apabila pemikiran ini meresap dan mengakibatkan generasi muda melihat bidang nyanyian sebagai satu prospek yang menguntungkan. Hal ini terjadi apabila lambakan program realiti televisyen untuk mencari dan mencungkil bakat-bakat penyanyi baru. Program-program realiti ini kebanyakannya dicedok bulat-bulat dari negara Barat tanpa ditimbang yang mana buruk yang mana bermanfaat.

Dalam hal ini, mereka yang waras pasti bersependapat dengan pandangan dan teguran yang diberikan oleh Mohd Ridhuan Tee (2006) berkaitan hal ini. Katanya:

”Lebih malang lagi program-program sebegini mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat korporat, termasuk syarikat korporat yang diterajui oleh orang Islam. Rancangan-rancangan yang bersifat ilmiah dan bersandarkan ilmu tidak mendapat sambutan dan penajaan serta di anggap merugikan.
Misalnya, rancangan Malaysian Idol, Akademi Fantasia dan lain-lain diciplak dari barat hampir seratus peratus dan tidak banyak mencerminkan nilai-nilai ketimuran atau budaya hidup Malaysia. Tidak memasukkan nilai-nilai keMalaysiaan atau keIslaman. Ada pengkritik vokal, seni pentas, seni lagu, persembahan dan sebagainya, tetapi tidak ada pengkritik yang memberikan input soal budaya dan adat sopan agama.”

Program realiti hiburan seperti Akademi Fantasia, Mentor, My Starz, Malaysian Idol, One in a Million dan sebagainya ditiru daripada Barat bagi menambah program hiburan di Malaysia, tujuannya adalah untuk melahirkan penyanyi-penyanyi ”pasang siap”. Persoalan timbul apabila produk media keluaran orang Islam di Malaysia yang tidak jauh bezanya dengan produk media acuan Barat yang berteraskan budaya hedonisme. Hal ini adalah akibat pemikiran yang membentuk tanggapan bahawa media hanyalah alat hiburan dan medium menjual produk semata (Syuhada, 2009). Peningkatan jumlah peserta yang menghadiri sesi ujibakat realiti televisyen ini dari tahun ke tahun merupakan kejayaan pola pemikiran hedonisme sehingga mengagungkan populariti dan kemewahan.

Jelas pemikiran hedonisme yang menular ini mampu menyeleweng tujuan hidup seorang muslim sehingga berkiblatkan hiburan dan keseronokan semata. Dukacita apabila generasi muda hari ini lebih mengenali keperibadian artis pujaan mereka daripada keperibadian para nabi. Kehidupan para artis yang mengikut kayu ukur barat dijadikan garis panduan dan ikutan, hatta tingkah laku para artis itu sendiri menentang budaya ketimuran apatah lagi syariat Islam. Semua budaya hedonisme ini dilihat normal atas nama kemodenan dan kecenderungan masa kini. Hiburan yang melampaui batas dan nilai murni ini turut dipromosikan oleh media sehingga menjadi rujukan masyarakat. Masyarakat makan, pakai, dan berkelakuan selari dengan kehendak dan kecenderungan masa kini mengikut maklumat yang disampaikan media. Oleh itu, jika baik maklumat yang tersebar, baiklah kesannya kepada masyarakat, jika buruk pula maklumat yang disampaikan, maka buruk pula kesannya kepada masyarakat.

Shahril Anuar (2006) ketika memberikan kritikan terhadap program-program realiti tv ini menyatakan, kebanyakan program realiti yang ada tidak ambil peduli tentang aspek moral dan budaya masyarakat Malaysia. Tiada satu pun ciri-ciri masyarakat Melayu yang beragama Islam yang ditampilkan dalam program berkenaan sedangkan hampir semua penontonya adalah di kalangan orang Melayu. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan, percakapan keterlaluan dan cara penampilan diri yang bertentangan dengan adat dan budaya Malaysia sudah banyak menjadi asam garam program realiti ini.




Hiburan menjadi agenda utama media massa apabila kebanyakan promosi yang diberikan media kepada para artis melebihi para ilmuan dan tokoh sarjana. . Tokoh-tokoh akademik, para ulamak, negarawan kurang ditonjolkan pencapaian dan sumbangan yang telah mereka lakukan untuk pembangunan umat, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya, artis-artis lebih diberi pelbagai anugerah dan dijulang nama. Pencapaian para artis lebih mendapat liputan pihak media, berbanding kecemerlangan para cerdik pandai negara.

Realiti yang berlaku ini membuktikan betapa budaya hedonisme ini telah meresap masuk dan sedikit demi sedikit menjadi darah daging masyarakat. Penularan budaya dan fahaman ini sebenarnya berkait rapat dengan pihak pengamal media yang memberikan ruang yang sangat banyak kepada program-program dan bahan-bahan berita yang berbentuk hiburan.